oleh Elmi Zulkarnain
Semalam, tatkala senja menjelang
Aku bercanda dengan ilhamku
Sehingga tercoret untaian kekata
Yang melukis isi hati berbicara
Sanubari ke mata
Telinga ke minda
Kembali pada jiwa
Sajak ini mungkin pekat berkias
Sajak ini mungkin menggugat fikiran yang bernas
Yang sebetulnya,
Sajak ini cuba membongkar kekuatan
Satu bangsa ...
Yang seringnya teraniaya
Dengan pandangan2 stereotaip
Yang sering tiada munasabahnya
Yang cuba melemahkan kita
Yang membantah kejatian Melayu Singapura
Ada orang kataMelayu Mudah Lupa
Jawabku, itu kataJembalang2 gila !
Kali ini langit akan mengiringi semangatku
Sedang aku memberontak
Dengan metafora2 tajam
Dengan perumpamaan
Yang bakal merejam
Sedang aku berdiri tegar
Dengan penuh keberanian
Aku melontarkan satu kenyataan
Melayu Ada!
Melayu ada akal
Kemampuan berasaskan makrifat
Pendirian yang cekal
Akan ku jirus debu-debu kejahilan
Agar cahaya pengetahuan
Dapat menyinari masa depan
Agar Melayu menjadi bangsa berpegangan
Agar anak-anak Melayu hidup kebanggaan
Melayu ada kebebasan
Merdeka untuk menggoncang dunia
Memperjuangkan hak bangsa
Bebas mengejar kesamarataan
Bebas menggapai kegemilangan
Bebas hidup dalam kedamaian
Melayu ada maruah
Pertahankan adat yang beradab
Perjuangkan bahasa & seni yang menjadi sendi budaya
Yang perlihatkan
Keindahan dan kelembutan bangsa
Menampilkan jiwa bersantun kita
Walaupun kau cuba benamkan senjata ke jasadku
Maruahku tetap bernyawa
Tiada akan lenyap hingga ke akhir masa
Melayu bangsa yang bukan superfisial
Bukan bangsa yang kontroversial
Bukan bangsa yang mengejar fatamorgana
Melayu adalah Melayu kerana jiwanya
Melayu ada Melayunya -Kegagahan, kecenderungan, keriangan
Kebenaran, kebesaran, kesusasteraan
Dan yang penting,
Kepercayaan
Pada Tuhan dan rukun agama
Pada siratulrahim dan keluarga
Pada hidup dan hidup selepas mati
Pada keikhlasan yang abadi
Melayu ada Melayunya
KERANA MELAYU ADA KITA SEMUA !!!
Silalah klik pada pautan di bawah untuk menonton klip video sajak ini:
Salam terima kasih buat pihak penganjur. Sahabat & mentor Sdr Rafaat Hj Hamzah. Sdr Zaibaktian yang sudi berkongsi platform. Sdr Ard (dulu Bhumiband), Raven, Yunos Erksan dan members seniman yang lain yang telah menjayakan Festival Melayu Ada / Festival Seni Melayu 2009.